Kisah sehelai rumput...
Suatu ketika, seorang guru
yang bijaksana sedang berteduh di bawah sepohon pokok yang agak besar dan
rendang. Bersamanya seorang pelajar yang masih muda tetapi gemar bertanya dan
mengutip pengalaman daripada yang lebih berusia darinya.
“Guru, bagaimana kita dapat
mencari pasangan hidup yang sejati? Bolehkah guru membantu saya?” Tiba-tiba
pelajar itu menyoal.
Sang guru tidak terus
menjawab, sebaliknya dia merenung jauh ke tengah kehijauan padang.
“Wahai muridku, saya akui
soalanmu ini amat indah untuk dicerna, namun sukar untuk dilaksana....” Sang
guru membuka bicara.
“Cuba kamu lihat padang
yang luas itu. Terdapat banyak rumput di atasnya. Bagaimana kalau saya meminta
kamu berjalan di sana, tetapi kamu tidak dibenarkan untuk mundur semula. Hanya
berjalan terus, maju ke hadapan. Dalam perjalananmu itu, saya mahu kamu mencari
sehelai rumput paling cantik, ambil dan berikan kepada saya.”Sang guru
mengarahkan.
Tanpa banyak bicara,
pelajar itu menurut. Langkahnya diatur ke tengah padang yang luas. Dia berjalan
sambil matanya melilau mencari sehelai rumput paling cantik menurut
perkiraannya untuk diberikan kepada sang guru.
Namun, selang beberapa
ketika…
“Saya tidak melihat sehelai
rumput pun pada tanganmu?” Sang guru bertanya bila dilihat pelajarnya itu
kembali ke bawah pohon besar dengan tangan kosong.
“Saya berjalan, dan terus
berjalan. Bila sahaja mata saya tertancap pada sehelai rumput yang saya rasakan
paling cantik, hati saya pula menyanggah : "Nanti dulu! Rumput-rumput di
depan ini masih banyak, mungkin ada yang lebih cantik dari yang ini. Lalu, rumput itu saya
tinggalkan dan pencarian diteruskan. Namun akhirnya, tanpa saya sedari saya
sudah pun sampai ke penghujung padang yang luas, tetapi tiada sehelai rumput
pun yang berada di dalam genggaman...” Ujar pelajar itu dalam nada keletihan.
Mendengar jawapan balas
pelajarnya, sang guru yang bijaksana tersenyum penuh makna.
“Inilah realiti
hidup....Padang yang luas itu, umpama masa, rumput-rumput yang banyak itu
umpama orang ramai di sekelilingmu, manakala rumput yang cantik pula adalah
individu yang menarik perhatianmu. Justeru, keadaanmu tadi banyak berlaku dalam
hidup manusia dalam mencari cinta sejati. Mereka mencari, bertemu yang menambat
hati, tetapi dek mengenangkan mungkin ada yang lebih baik dari yang telah
ditemui, mereka teruskan mencari sehingga tanpa sedar, sudah banyak masa yang
terbuang, sudah banyak tenaga yang hilang. “ Sang guru menjelaskan penuh
hikmah.
“Oleh itu, dengarkan
nasihatku ini. Dalam mencari pasangan hidup, janganlah selalu
membanding-bandingkan dan berharap akan ada seseorang yang lebih baik di
hadapan, kerana jika itu kau lakukan, masamu akan hilang, tubuhmu pasti
kelelahan...” Sang guru menutup bicara disambut anggukan yang tidak putus dari
pelajarnya.
Sumber: Ustzh Noraslina
Jusin
No comments:
Post a Comment